Thursday, April 7, 2011

Posting Pertama Blog Isu Semasa

ISU SEMASA, SOSIAL DAN POLITIK

MALAYSIA BARU 2013, SATU BANGSA SATU NEGARA, BERASASKAN DEMOKRASI YANG TELUS,
BEBAS DAN ADIL.

Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah
untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

THURSDAY, APRIL 07, 2011

Ramai yang percaya dalam video seks tu
adalah anwar

Pihak mana yang dapat mencipta ‘bom’ di saat-saat akhir perang pilihanraya, pasti mempunyai kelebihan untuk menang besar.

Satu ‘bom’ telah pun berjaya dicipta dan diledakkan oleh pihak-pihak tertentu untuk menghancurkan Pakatan Rakyat terutamanya parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang pilihanraya Sarawak yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

Seluruh rakyat Malaysia telah pun melihat gambar orang-orang yang terlibat dalam video seks itu kerana sebahagian sedutannya telahpun ditayangkan dalam media perdana tempatan.

Dari segi raut wajah atau kelibat yang terdapat dalam video seks itu memang ada pesamaan dengan pemimpin PKR, Anwar Ibrahim. Saya rasa ramai yang percaya orang yang kelihatan dalam video seks itu adalah Anwar Ibrahim, apatah lagi Ketua Polis telah pun mengesahkan video itu adalah tulen dan tidak ada suntingan ‘superimpose’.

‘Bom’ telah diledakkan, samada kelibat yang kelihatan dalam video seks itu betul-betul Anwar atau orang lain yang menyerupai Anwar bukanlah penting lagi kepada pihak yang melepaskan ‘bom’ itu.

Yang penting mereka telah berjaya menanamkan persepsi kepada orang ramai bahawa yang kelihatan dalam video seks itu adalah Anwar Ibrahim.

Kalau Anwar Ibrahim bukanlah orangnya dalam video seks itu, beliau hanya mungkin boleh diselamatkan dan dibersihkan setelah melalui hasil siasatan polis dan proses makamah. Bagaimana pun ia masih belum dapat menyelamatkan Pakatan Rakyat dan PKR bagi menghadapi pilihanraya Sarawak yang akan berlangsung sembilan hari lagi, kerana tidak mungkin hasil keputusan makamah dapat diketahui dalam tempoh yang singkat itu.

Usaha Pakatan Rakyat dan PKR yang saya rasa dapat memberi kesan untuk mematikan serangan ‘bom’ ini mungkin dari kenyataan isteri Anwar sendiri di sidang media yang berkaitan isu tersebut, dimana dalam sidang media tersebut, Dr. Wan Azizah telah menafikan orang yang terlibat dalam video seks itu adalah Anwar.

Secara logiknya, orang ramai hanya biasa melihat wajah Anwar sahaja. Sebaliknya, hanya isteri beliau sahaja yang biasa melihat beliau dalam keadaan tidak berbaju atau berpakaian. Oleh itu, penafian Wan Azizah memang patut juga diambil kira oleh orang ramai untuk menjadi hujah yang kuat dalam isu video seks ini.

Kalau orang yang kelihatan dalam video seks itu memang betul-betul Anwar Ibrahim, dan kerananya telah menyebabkan Pakatan Rakyat kalah teruk di Sarawak, mungkin orang ramai tidak berasa marah.

Tetapi bagaimana kalau Pakatan Rakyat kalah teruk kesan dari isu video seks ini, dan selepas proses siasatan selesai, didapati orang yang kelihatan dalam video itu disahkan bukan Anwar. Ini akan jadi seperti satu penginayaan, dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pertandingan dalam pilihanraya yang telah diadakan itu.

TUESDAY, APRIL 05, 2011

Siapa Dato' Mufti yang paling 'power' di Malaysia?
Antara tugas mufti ialah menentukan gelaran yang harus diguna pakai oleh seorang raja atau sultan sesebuah negeri. Memandangkan raja atau sultan adalah ketua agama Islam dalam sesebuah negeri, maka gelaran yang diberi bersama nama raja itu mestilah melambangkan kehebatan dan kemuliaan baginda, sepadan dengan peranan baginda itu.

Lihatlah gelaran-gelaran beberapa raja dan sultan yang telah diberikan oleh para mufti baginda:

Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (Sultan Terengganu yang juga Yang Di Pertuan Agong dari 13 Disember 2006 hingga sekarang)

Sultan Azlan Muhibudin Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Ghafarullahu Shah (Sultan Perak)

Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadassallah (Sultan Perak dari 1963 - 1984)

Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'azam Shah (Sultan Pahang)

Almutawakkil Allalah Sultan Mahmood Iskandar Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Ismail (Sultan Johor)

Kadang-kadang nama gelaran ini sukar untuk disebut oleh orang awam, apatah lagi kalau orang Cina yang menyebutnya, kerana mereka tidak biasa dengan sebutan Arab. Pernah dalam satu majlis rasmi, Tun Mahathir sampai tergeliat lidah untuk menyebut gelaran pada nama Sultan Raja Azlan Shah yang ketika itu menjadi Agong Malaysia.

Mufti negara Bahrain pula menamakan Raja dan keturunannya dengan gelaran Khalifah. Oleh itu tidak siapa yang layak menjadi raja dan perdana menteri negara itu melainkan anak dan kerabat raja tersebut, kerana mereka secara ginetik sudah cop gelaran Khalifah.

Raja negara Bahrain bernama Shaikh Hamad bin Isa Al Khalifa; ketua kerajaan Bahrain pula adalah Perdana Menteri, bernama Shaikh Khalīfa bin Salman al Khalifa.

Agaknya apa sudah jadi dengan nasib mufti Mesir‘Ali Jum’ah –yang muncul dalam TV Mesir- yang meminta rakyat Mesir menghentikan tunjuk perasaan semasa menentang Presiden Mesir Hosni Mubarak dulu. Beliau mengeluarkan pandangan agama tentang larangan keluar membantah Mubarak. Bahkan mengalu-alukan langkah Mubarak yang kononnya ingin membuat pembaharuan dalam masa tujuh bulan. Minat juga kita hendak tahu, apakah pendirian mufti tersebut telah berubah sekarang atau masih juga tetap pendiriannya menyokong Mubarak?

Semasa saya mengikuti kursus Bina Negara pada tahun 2002, seorang fasilitator kursus telah menanyakan soalan kepada kumpulan kami, siapakah pemimpin di Malaysia yang menjadi idola setiap ahli kumpulan kami. Bila soalan itu ditanyakan kepada rakan kumpulan kami yang begelar ustaz, yang juga datang dari tempat kerja saya, tidak teragak-agak ustaz tersebut menyatakan pemimpin idola beliau ialah Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia semasa itu, beliau telah mengemukakan beberapa hujah untuk menyokong pendiriannya itu.

Sekarang, ustaz itu telah pun diangkat menjadi orang besar juga di tempat kerja saya, malah dengar cerita, isteri pun sudah bertambah lagi satu.

Kalaulah saya dapat peluang makan semeja dengan ustaz ini, berminat juga saya hendak bertanya kepada beliau, adakah pemimpin idolanya sekarang telah bertukar kepada Datuk Seri Najib atau pun masih tetap pendiriannya dengan Tun Mahathir seperti dulu juga?

SUNDAY, APRIL 03, 2011

Hantu Mak Limah Balik Mengundi

Politik busuk, jelas berniat jahat



SIBU 2 APRIL : Walaupun dilahirkan pada tahun 1880 dan sudah lama meninggal dunia, Mohamad Mahli Sulong masih dalam senarai daftar pengundi untuk pilihanraya negeri Sarawak bulan ini, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Sibu Election Watchers (SEW) berkata kes Mohamad Mahli adalah contoh terbaru untuk membuktikan senarai pengundi Suruhanjaya Pilihanraya masih belum dikemaskini.

Jurucakap SEW, Wong Meng Chuo berkata Mohamad Mahli disenaraikan sebagai pengundi untuk N49 Nangka dan tempat mengundi beliau adalah SK Perbandaran Sibu No. 3 at Jalan Bandong.

Pada pilihanraya kecil Sibu tahun lalu, SEW mengesan 208 pengundi yang dilahirkan lebih seratus tahun lalu namun masih dalam daftar pengundi SPR, akhbar The Star melaporkan.

Justeru, SEW menolak jaminan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mendakwa daftar pengundi SPR sudah “dibersihkan.”

“Kita kesal kerana SPR masih belum melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Kami percaya daftar pengundi yang bersih amat penting untuk memastikan pilihanraya berjalan secara adil dan bebas,” tambah beliau.

“KUALA LUMPUR 1 April - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar) hari ini mengesahkan rakaman video seks didakwa melibatkan seorang pemimpin parti pembangkang yang didedahkan baru-baru ini adalah tulen.”

Begitulah rata-rata bunyi berita utama yang keluar pada media perdana negara kita, samada di akhbar mahupun berita di TV.

Sekali imbas apa yang tergambar dalam pemikiran pembaca bila membaca berita ini, seolah-olah memang benarlah pemimpin pembangkang yang melakukan perlakuan seks dalam video itu, walupun maksudnya tidaklah semestinya begitu.

Itulah cara pemberitaan yang berniat jahat. Sebagai media yang pro parti kerajaan, mereka akan sedaya upaya memberi gambaran seburuk yang mungkin kepada parti Pakatan Rakyat dan pemimpinnya.

Yang ingin diketahui oleh rakyat berkaitan seks dalam video ini bukan sahaja ketulenannya tapi yang lebih penting lagi, apakah pelakunya betul-betul pemimpin pakatan rakyat atau orang yang mirip wajah beliau yang digunakan oleh pihak UMNO untuk memburukan imej pemimpin tersebut.

Lain yang ditanya lain yang dijawab. Benda lain yang diminta, benda lain pula yang diberi. Mereka cuba hendak lari dari isu yang sebenar, dan cuba menggunakan isu tersebut untuk bahan kempen dalam pilihanraya Sarawak yang tengah berlangsung ini.

Ini merupakan permainan politik yang amat kotor dan jahat. Mereka berpura-pura menutup hidung, tetapi merekalah yang sebenarnya bermain politik busuk.

Apalah ertinya memenangi suatu pertandingan dengan menggunakan cara yang tidak bermaruah, termasuklah pertandingan dalam pilihanraya.

FRIDAY, APRIL 01, 2011


Sedikit komen pasal tarian poco-poco

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tarian poco-poco telah diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan atau aqidah agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh, oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak baru-baru ini.

Sejak mufti Perak mengeluarkan fatwa tarian poco-poco adalah haram, ia telah menimbulkan banyak kontraversi di kalangan orang ramai. Fatwa yang dikeluarkan oleh pihak yang berwibawa dalam agama ini telah dipertikaikan oleh berbagai pihak.

Apabila fatwa mufti dipertikaikan, ini secara langsung telah menjejaskan imej dan kredibiliti institusi mufti itu sendiri. Kalau isu ini tidak ditangani secara berhati-hati, bimbang nanti orang ramai mula hilang kepercayaan kepada mufti yang selama ini dianggap sebagai ahli agama tertinggi yang sangat dihormati dalam masyarakat.

Kepada saya sendiri, samada haram atau tidak, tarian poco-poco ini tidaklah begitu penting sangat. Sekalipun ia tidak haram, saya tidak akan menarikannya, kerana saya memang tidak pandai menari dan tidak suka pun menari.

Saya rasa mufti-mufti negara kita pun tidak ada yang suka menari. Kalau ada pun, saya pernahlah dengar kawan yang cerita, itu pun entah betul entah tidak, ada seorang mufti yang suka menari, bukan tarian poco-poco tetapi tarian dangdut.

Mungkin juga sebab nama bapa mufti itu dekat-dekat bunyi ‘dangdut’, jadi mereka buatlah cerita lawak tentang mufti tersebut.

Dalam pada itu saya terfikir juga, apa jadi kalau pertama kali kereta dibina adalah bertujuan untuk kegunaan paderi pergi ke Gereja dan menyibarkan agama Kristian. Alamat tak merasalah kita naik kereta Yob!

THURSDAY, MARCH 31, 2011

Malaysia Negara pendatang, dulu kini dan selamanya
Bermula seawal tahun 1400, Raja Parameswara dan orang-orangnya dari Palembang membuka negeri di Melaka, tanah semenanjung Malaysia telah menjadi penempatan baru bagi penduduk dari kawasan serantau. Termasuklah dari pulau Jawa, Sumatera dan Sulawesi.

Di waktu itu tidak ada sistem tertentu yang mengawal orang-orang luar dari membuka tanah dan penempatan baru, apatah lagi mereka yang datang itu adalah dari rumpun yang sama, agama yang sama dan budaya yang hampir sama. Mereka mempunyai raut wajah yang sama, hanya dibezakan oleh bahasa daerah yang kita kenali sebagai Jawa, Bugis, Minangkabau, Banjar, Siam, Riau dan Boyan.

Pada era penjajahan British pula, pekerja-pekerja dari Negara China dan India telah dibawa masuk oleh British ke Semenanjung untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan ladang-ladang getah.

Negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sistem kad pengenalan dan kewarnegaraan telah diperkenal dan diperketatkan.

Selepas itu negara kita boleh dikatakan tidak lagi membenarkan pendatang-pendatang asing datang ke negara ini. Semua pekerjaan telah dilakukan sendiri oleh anak-anak tempatan.

Kalau pun ada pendatang yang dibenarkan masuk ke Malaysia selepas kita merdeka, hanyalah terdiri dari pendatang akibat pelarian perang seperti pendatang Kemboja, Vietnam, Acheh, Thailand dan Filipina.

Sejak Tun Mahathir mengambil alih pemerintahan Malaysia, sekali lagi kita dilanda kedatangan pendatang asing. Negara kita telah menjadi tumpuan pendatang asing untuk mencari kerja, bukan sahaja dari Indonesia tetapi datang dari berbagai-bagai negara seperti India, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Vietnam.

Di bawah pimpinan Tun Mahathir, dasar penswastaan, pembangunan infrastruktur yang pesat telah memaksa negara kita membawa ramai pekerja asing dari luar yang diperlukan dalam sektor pembinaan dan penyelenggaraan.

Dalam masa yang sama, rata-rata anak tempatan mempunyai kelulusan pendidikan yang tinggi, mereka tidak selesa lagi untuk bekerja sebagai buruh bawahan dan bekerja di bawah panas terik sinar matahari. Kepada mereka apalah ertinya kalau ada sijil diploma atau ijazah tetapi membuat kerja seperti menoreh getah, atau mengambil buah kelapa sawit, atau membersih bangunan pejabat atau menjadi orang gaji. Kalau sekadar untuk membuat kerja-kerja tersebut, tidak perlulah kepada sijil diploma dan ijazah.

Majikan pula tidak ada pilihan, mereka mahu membuat keuntungan yang maksimum dengan membayar upah atau gaji pekerja yang murah. Oleh itu mengambil pendatang asing sebagai pekerja adalah pilihan terbaik untuk menjadikan barang keluaran mereka lebih murah dan beradaya saing.

Kalau kita lihat negara maju seperti Jepun, mereka tidak mengambil pendatang-pendatang asing untuk melakukan kerja-kerja di negara mereka. Mereka sanggup berkorban membayar gaji yang lebih mahal kepada anak-anak tempatan. Oleh itu hingga hari ini, mereka tidak ada masalah dengan pendatang asing.

Mereka tidak mengambil pendatang asing untuk menjadi pekerja mereka sebagai langkah untuk menjimatkan kos, sebaliknya mereka memindahkan kilang-kilang mereka ke negara lain yang mempunyai tenaga buruh yang murah, termasuklah ke negara kita.

Tidak dinafikan pendatang-pendatang asing telah menimbulkan banyak masalah kepada sosio budaya negara kita. Oleh itu perlulah kita mencari jalan untuk tidak terlalu bergantung kepada pekerja-pekerja asing ini.

Buat apalah kita terlalu memikir untuk keuntungan jangka pendek, walhal untuk jangka panjang kita akan menghadapi banyak masalah dan kerugian.

Kalau Jepun boleh, kenapa kita tidak?

Sampai bila kita akan terus menerus mengimpot pendatang asing untuk bekerja di negara kita, bilangan mereka bukan berkurang sebaliknya terus bertambah dari masa ke semasa.

Sekarang ini pun, Chow Kit sudah jadi seperti Batam, Cameron Highland sudah jadi seperti Bandung. Fikir-fikirkanlah.

MONDAY, MARCH 28, 2011
TV3, berhentilah dari terus jadi 'pelacur'


Melalui slot berita mahupun program 999, saya perhatikan TV3 selalu sangat menayangkan gambar pelacur dan wanita urut sex diserbu polis, terutamanya di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Apakah tujuan TV3 menayangkan kepada khalayak berulangkali gambar-gambar wanita gebu dan seksi ini? Apakah sekadar untuk menarik lebih ramai orang menonton dan dapat menaikkan ‘rating’ penyiaran setesen TV mereka?

Mengapa terlalu memikirkan keuntungan wang ringgit sedangkan banyak kesan negatif yang akan timbul akibat darinya. Bila melihat perempuan-perempuan seksi dan gebu yang dipertontonkan itu, sudah tentu lebih ramai orang teringin hendak ke tempat-tempat tersebut bagi melempiaskan nafsu sex mereka.

Secara tidak lansung, TV3 sudah seperti memberi iklan percuma kepada kegiatan atau industri tersebut. Bila sudah ada semacam iklan percuma dari TV3 ini, manakan dapat kegiatan tak bermoral ini dapat dihapuskan. Malah ada kemungkinan semakin bertambah dan bercambah.

Ada premis pelacuran ini yang sampai beberapa kali telah diserbu polis dan penguatkuasa tetapi masih tidak serik dari terus beroperasi. Apakah ini menunjukkan kelemahan pihak polis dan penguatkuasa hingga memerlukan lebih dari sekali mengambil tindakan kepada pengusaha yang sama. Sudah tentu TV3 tidak akan menuduh pihak polis dan pihak penguatkuasa sebagai lemah, kerana dasar TV3 tidak akan mengkritik polis.

Buat sajalah kerja penangkapan dan pendakwaan tanpa perlu heboh satu dunia. Rasanya kalau orang awam sendiri tidak sukar untuk mencari dan melanggan tempat-tempat maksiat ini, sudah tentu pihak polis juga yang lebih terlatih tidak ada masalah untuk menemuinya. Mereka bukan seperti perompak dan peragut yang jauh lebih sukar untuk dikesan.

Kalau pengusaha sex haram ini telah dihukum dengan hukum berat dan dipenjara, tidak mungkin mereka boleh mengurus dan mengusahakan industri ini dari bilik penjara mereka.

Siapakah sebenar yang menjadi pelacur? Janganlah TV3 mengambil peluang lesen penyiaran yang diberikan kepada mereka untuk menjadi ‘pelacur’ demi mengaut keuntungan cepat tanpa ada rasa tanggung jawab sosial kepada masyarakat.